Cara Mudah Ubah Gaya Hidup Secara Bertahap

ANDA sering dengar kekata gaya hidup sihat. Namun, apakah maknanya?
Umumnya, seorang yang sihat tidak merokok, mempunyai berat badan yang sihat, makan secara sihat dan kerap bersenam.
Nampak sahaja mudah, tetapi melakukannya lain pula cerita.
Kunci kepada mengamalkan gaya hidup sihat ialah dengan melakukan perubahan secara kecil-kecilan seperti lebihkan berjalan, menambah buah-buahan dalam diet, gantikan air manis dengan air putih.
Kajian menunjukkan, mengurangkan hanya 10 peratus daripada berat badan dapat mengurangkan tekanan darah dan kadar kolesterol mereka yang gemuk.

CARA MUDAH GERAKAN TUBUH
Mulakan proses itu sekarang dengan menambahkan aktiviti anda. Jika belum bersedia untuk program berstruktur, mulakan secara perlahan. Apa saja yang anda lakukan, akan membantu dalam membakar kalori.

1. Matikan televisyen Seminggu sekali, matikan set televisyen dan lakukan kegiatan fizikal bersama keluarga. Bersukan, berjalan, apa sahaja melainkan duduk menghadap televisyen.

2. Lebihkan berjalan Cari peluang untuk berjalan. Apabila keluar ke kedai, ambil jalan yang lebih jauh sedikit. Jika di tempat kerja anda ada gimnasium, berjalan di treadmill selama lima minit pada waktu makan tengah hari.

3. Lakukan kerja rumah Menyapu, membasuh dan melakukan kerja-kerja di kebun (kalau anda tinggal di rumah teres) mungkin bukan kegiatan lasak, tapi baik sebagai satu permulaan untuk memupuk sikap aktif.

4. Berjalan apabila berceloteh Bagi mereka yang suka ‘bergantung’ di telefon, bolehlah berjalan-jalan semasa berbual.

MAKAN SECARA SIHAT Diet yang sihat adalah satu lagi komponen gaya hidup sihat. Bukan hanya ia membantu dalam mengurus berat badan, ia juga meningkatkan mutu kehidupan anda menjelang usia tua kelak.

Anda boleh menggunakan aplikasi telefon bijak seperti MyPlate untuk memastikan jumlah kalori yang anda perlukan, dan kumpulan-kumpulan makanan yang harus menjadi tumpuan anda.

Berikut beberapa tip berguna:

Lebihkan buah-buahan

Campurkan buah-buahkan kepada bijiran sarapan pagi, pada salada dan juga lauk-pauk anda.

Selitkan lebih sayuran

Masukkan sayur dalam hidangan seperti piza, sandwic atau sos pasta. Potong sayur-sayuran dan simpan di dalam peti sejuk sebagai snek.

Makan produk tenusu rendah lemak

Tukar kepada susu rendah lemak kerana ia satu cara mengurangkan pengambilan kalori, tanpa perlu membuat perubahan besar dalam diet.

Gantikan makanan kegemaran

Jenguk ke dalam peti sejuk dan kabinet anda. Pilih tiga makanan yang anda makan setiap hari.

Tuliskan kandungan makanan itu dan cari alternatif yang lebih sihat.